7 Cara Mendidik Anak Mengikut Psikologi Islam. Jom Amalkan!



1. Kaedah pesanan dan arahan

Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Biasakan mendidik anak-anak dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Selepas itu boleh dilihat bagaimana reaksi mereka. Apakah dengan sekali pesanan atau arahan mereka boleh melakukannya atau perlu dipesan berkali-kali barulah pesanan dan arahan itu dapat diikuti. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :

Mengenai solat di awal waktu

Adab dengan orang tua-tua

Adab dengan kawan-kawan

Tugas harian di rumah






2. Kaedah bercerita

Ibubapa boleh bercerita tentang pelbagai kisah motivasi terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah supaya anak-anak secara tidak langsung dapat dididik melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, Selain daripada itu, ianya dapat mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, yang mana anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas tentang apa yang diceritakan dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.


3. Kaedah soal jawab

Bersoaljawab dengan anak dapat menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.

Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.





4. Kaedah merujuk kenangan lalu

Kaedah ini bermaksud samada kenangan suka duka, pahit manis yang di perolehi sepanjang kehidupan ini. Pengalaman yang positif diambil sebagai teladan, manakala pengalaman yang negatif pula dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat supaya ianya lebih mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan. Selain itu pengalaman dari anak-anak itu sendiri juga penting. Ibubapa boleh mengaitkan apa pengajaran dan mengapa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau teladan dari peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.


5. Kaedah nasihat dan teguran

Kaedah ini tidak boleh dilakukan setiap hari atau masa untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan pada anak-anak. Nasihat dan teguran kepada anak-anak hendaklah diberi dalam hal yang berkaitan dengan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak-anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.





6. Kaedah bermain dan bergurau

Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.

Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.


7. Kaedah latihan yang berterusan

Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Contohnya anak lelaki diajar untuk menjadi pemimpin dan perlu bersifat tegas manakala perempuan bersifat sopan dan lemah lembut.

Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.

Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.


Nak Mudah Bersalin? Sini ada 7 Tips Senaman Untuk Ibu Mengandung.



Senaman yang ideal akan mengepam jantung anda, membuat badan lebih mudah dilentur, menjaga berat badan daripada bertambah, dan menyediakan otot untuk bekerja keras semasa proses bersalin dan kelahiran - tanpa menyebabkan sebarang tekanan fizikal kepada anda atau bayi anda.

Senaman berikut adalah agak selamat untuk ibu-ibu mengandung, walaupun ada di antaranya mungkin tidak sesuai buat anda dalam bulan-bulan terakhir kehamilan. Untuk selamat, rujuklah kepada doktor anda sebelum memulakan salah satu aktiviti ini.






1) Berjalan

Sebagai salah satu senaman kardiovaskular terbaik untuk wanita hamil, berjalan mengekalkan kecergasan anda tanpa mencederakan lutut dan pergelangan kaki anda. Ia adalah selamat sepanjang sembilan bulan kehamilan dan mudah dimasukkan ke dalam jadual harian anda.





2) Renang

Pakar-pakar kesihatan dan kecergasan menganggap renang sebagai senaman terbaik dan paling selamat untuk wanita mengandung. Renang adalah ideal sebab ia menggerakkan kedua-dua kumpulan otot besar (lengan dan kaki), menyediakan manfaat kardiovaskular yang baik, dan membuatkan wanita hamil berasa badannya ringan walaupun badan telah berat akibat kehamilan.






3) Kelas senaman air

Ramai wanita mendapati kelas senaman air semasa mengandung menyeronokkan. Bersenam sambil berdiri di dalam air adalah lembut buat sendi dan boleh membantu mengurangkan bengkak di kaki, yang merupakan perkara biasa lewat dalam kehamilan.

Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk mencari kelas sebegini di Malaysia, jadi anda mungkin tiada pilihan selain berenang beberapa pusingan di kolam terdekat.






4) Yoga dan regangan

Yoga dan regangan dapat membantu mengekalkan kekencangan otot dan membuat anda fleksibel tanpa apa-apa kesan buruk ke atas sendi anda.

Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu menambah rejim yoga dengan berjalan beberapa kali seminggu untuk membolehkan jantung anda bekerja dengan baik.

Berhati-hatilah supaya tidak keterlaluan dalam membuat senaman regangan. Anda akan menjadi lebih lentur akibat kesan hormon relaxin, yang menyebabkan ligamen anda lebih elastik. Jangan terlalu lama mengekalkan mana-mana regangan atau cuba untuk membangunkan fleksibiliti anda secara keterlaluan.






5) Pilates

Pilates adalah satu bentuk senaman yang menggabungkan latihan fleksibilti dan kekuatan dengan kesedaran tubuh badan, serta pernafasan dan relaksasi. Senaman ini berdasarkan pola gerakan tertentu yang dilakukan dengan perut dan otot lantai pelvis - dikenali dalam Pilates sebagai "teras stabil" atau asas. Otot ini juga dikenali sebagai otot penstabilan dalam. Sebab Pilates mensasarkan perut dan lantai otot pelvik dan sememangnya otot-otot ini boleh menjadi lemah semasa mengandung, senaman Pilates boleh menmanfaatkan.

Banyak senaman Pilates dilaksanakan dalam posisi "tangan dan lutut", dan ini adalah kedudukan yang ideal semasa mengandung. Ia membantu mengurangkan tekanan ke atas bahagian belakang dan pelvis anda pada peringkat akhir kehamilan anda dan boleh membantu meletakkan bayi anda ke dalam posisi baik untuk bersalin.






6) Tarian

Jantung anda boleh dapat mengepam dengan baik jika anda menari menggunakan muzik latar kegemaran anda dalam keselesaan dan privasi ruang tamu anda, tetapi elakkan pergerakan yang memerlukan anda berlonjak, melompat, memutar atau menggoyangkan punggung anda. Teknik adalah penting. Elakkan pertukaran hala secara tiba-tiba.

Jika anda menyertai kelas tarian, anda boleh lupakan segala-segalanya buat sementara dengan muzik, di samping kekal cergas, dan bertemu dengan orang lain.







7) Aerobik berimpak rendah dan Fitball

Satu perkara yang baik mengenai kelas aerobik adalah bahawa ia merupakan satu tempoh masa di mana anda tahu anda akan bersenaman dengan baik.


Jika anda menyertai kelas khusus untuk wanita hamil, anda boleh menikmati keakraban berdamping dengan orang-orang sama seperti anda, dan mendapat keyakinan bahawa setiap pergerakan terjamin selamat untuk anda dan bayi. 

Susah tidurkan bayi pada waktu siang dan malam? Sini ada tips!




Sebagai ibu bapa, tentunya anda mahukan yang terbaik untuk bayi anda. Tidur yang cukup di waktu siang dan juga malam terutamanya membantu sistem pertumbuhan bayi yang baik dari segi mental dan fizikal. Nak tahu lebih lanjut tentang tips terbaik untuk bayi anda tidur lena setiap hari? Cek sini!


1) Seandainya anak anda telah menunjukkan keletihan dan tanda mahu tidur, terus baringkan di atas katil biarpun kemungkinan dia tidak akan terus tertidur. Jangan bertangguh dengan menyelesaikan kerja anda dahulu! Kerana mungkin anak anda akan mula terleka dan melakukan aktiviti lain.







2) Amalkan waktu tidur yang tetap dan mengikut rutin harian. Biasakan mereka tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Bertegas dengan waktu tersebut yang telah anda tetapkan!


3) Elakkan sebarang permainan ketika waktu tidur terutamanya gajet yang mungkin membuatkan mereka tambah leka dengan waktu tidur mereka. Begitu juga elakkan menonton televisyen sebelum tidur.


4) Elakkan bermain ditempat tidur. Asingkan tempat bermain dengan tempat tidur bagi mengelakkan bayi anda bermain semasa hendak tidur. Bayi akan mengetahui di mana tempat untuk bermain dan tempat untuk tidur jika kita biasakannya setiap hari.






5) Sediakan suasana bilik tidur yang selesa. Gelapkan bilik anak sekiranya tidur waktu pagi. Ransang mereka untuk sukakan waktu tidur dengan menyediakan kamar tidur yang selesa. Atau mungkin anda boleh menambah sedikit aksesori atau lampu tidur yang bersesuaian. Pastikan tempat tidur anak anda kemas dan selesa.


6) Pastikan perut anak anda kenyang terlebih dahulu sebelum tidur kerana perut yang lapar mungkin membuatkan tidur mereka terganggu. Anda boleh menyediakan snek ringan yang berkhasiat untuk mereka pada waktu malam.


7) Pastikan anak anda tidur secara mengiring atau terlentang. Elakkan tidur secara meniarap kerana mungkin boleh menyebabkan kesukaran pernafasan. Letakkan bayi anda pada posisi yang paling selesa.






8) Kalau boleh asingkan tempat tidur bayi ketika tidur siang dan malam. Ini adalah satu cara untuk memberitahu anak anda bahawa tempat tidur yang berbeza adalah waktu yang berbeza. Waktu siang bayi tidak memerlukan masa tidur yang panjang seperti waktu malam. Ini adalah penting!


9) Balutan atau bedung – Teknik ini dapat membantu bayi berasa selamat ketika tidur dan mengelakkan daripada berlaku kejutan atau gangguan seperti tersentak tubuh atau tangan. Pastikan balutan tidak terlalu ketat dan tidak terlalu tebal. Kain lampin adalah contoh yang sesuai.


10) . Urutan tubuh – teknik ini bukan sahaja berkesan kepada orang dewasa, bayi juga turut merasa selesa dan nyaman apabila diurut dan ini dapat membantu bayi mudah tidur.


Ibubapa perlu ubah gaya hidup setelah mempunyai anak. Ibubapa perlu lebih mengutamakan anak daripada gaya hidup dahulu seperti keluar sehingga lewat malam, melepak dan membuat pertemuan dengan rakan-rakan. Faktor gaya hidup anda yang menyebabkan waktu tidur yang tidak teratur ini, sekaligus boleh mengganggu tidur anak anda.


Tetapkan giliran penjagaan bayi diantara suami dan isteri bagi mengelakkan kepenatan yang dialami sebelah pihak. Ini adalah masa suami isteri menunjukkan sikap toleransi yang menjadi asas kepada rumah tangga yang bahagia.

Panduan Ibadah Puasa Dan Pengisiannya. Apa yang Anda Perlu Tahu.








Islam merupakan ad-din cara hidup jitu dan unggul  bagi manusia. Kesyumulan dan keserasian ini dapat dilihat pada peraturan dan garis panduan yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada tuntutan rohani, jasmani mahupun akli.


Ramadhan telah ditentukan oleh Allah Ta’ala sebagai bulan suci untuk melatih hambaNya membersihkan jiwa dan mencapai ketakwaan melalui ibadah puasa. Oleh kerana tetamu yang mulia ini mengunjungi kita setahun sekali maka sudah pasti ada perkara-perkara yang kita terlupa mengenainya dan perlu mengulangkaji dan memperbaharui ingatan tersebut serta berusaha mendapatkan pedoman yang sewajarnya melalui majlis-majlis ilmu seumpama ini supaya dengan itu kita dapat menjalani ibadah tersebut dengan lebih sempurna berbanding tahun-tahun yang lalu, insyaAllah.


Ibadah puasa dan pengisiannya.


Kita perlu berniat puasa di malam hari hingga terbit fajar kerana ia adalah syarat sah puasa.

Menurut Mazhab Syafie, niat puasa Ramadhan perlu dilakukan tiap-tiap hari sebagai syarat sah puasa. Namun begitu untuk lebih berhati-hati dan jika khuatir terlupa, maka digalakkan berniat puasa Ramadhan pada malam pertama Ramadhan dengan berniat puasa seluruh Ramadhan dengan mengikut pendapat Imam Malik.

Sah puasa jika makan dan minum (bersahur) selepas waktu imsak sehingga pasti terbit fajar (masuk waktu subuh) kerana permulaan puasa ialah bermula dengan terbit fajar sadiq. Namun begitu berhenti makan dan minum sebelum waktu imsak adalah afdhal kerana mengikut sunnah dan sebagai langkah berhati-hati dan bersedia mempersiapkan diri untuk memulakan ibadah puasa.

Yang dimaksud dengan waktu Imsak adalah waktu untuk menahan diri dari melakukan perkara-pekara yang membatalkan puasa, maka sebaiknya kita berhenti makan ketika waktu Imsak telah masuk.

Orang yang berpuasa tetapi melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat dengan sengaja seperti meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat, mengumpat, berbohong, menonton acara hiburan yang melalaikan, melihat, membaca atau berbicara tentang perkara yang menimbulkan syahwat secara langsung atau tidak seperti melalui telefon, sms, internet, televisyen dan sebagainya adalah sah tetapi dikhuatiri tidak diterima oleh Allah kerana mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa. 

Puasa yang berfaedah dan diterima adalah puasa yang dapat mendidik jiwa dan mampu menggerakkan diri untuk mengerjakan kebaikan serta dapat membuahkan ketakwaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Al-Baqarah : 183)






Solat Tarawih

Mengerjakan solat tarawih secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian. Bilangan rakaat solat tarawih beserta witir boleh dilakukan samada 11, 13 atau 23 rakaat kerana masing-masing ada hujah tersendiri yang menyokong.

Bahkan sebahagian kaum muslimin ada yang mengerjakan lebih daripada itu menurut yang disanggupi kerana Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan bilangan yang tertentu. Setiap kali seseorang itu membanyakkan bilangan rakaatnya kerana melaksanakan anjuran menghidupkan malam Ramadhan maka semakin banyak pula pahalanya.

Apa yang lebih penting solat tarawih dan witir dapat dilaksanakan dengan penuh ketenangan dan khusyu’ mudah-mudahan diterima oleh Allah Ta’ala dan mendapat ganjaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berdiri solat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka ia akan diampuni dari dosa-dosa yang lalu.”

 (Maksud Hadis Riwayat Muslim)






Lailatul Qadar

Lailatul qadar dapat disaksikan oleh orang yang dikehendaki oleh Allah pada tiap-tiap tahun di dalam bulan Ramadhan.

Tidak ada kepastian yang yang jelas mengenai masa berlakunya lailatul qadar. Namun begitu Jumhur Ulama’ berpendapat ia berlaku pada malam yang ganjil daripada 10 akhir Ramadhan berdasarkan kepada petunjuk beberapa hadith sahih anataranya yang diriwayatkan oleh Bukhari dari ‘Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bemaksud :

“Carilah dengan segala daya upaya malam lailatul qadar di malam-malam ganjil dari sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan.”






Tadarus Al-Qur’an

Merupakan suatu sunnah yang digalakkan kerana Rasulullah SAW melakukan mudarasah al-Qur’an bersama Jibril a.s setiap tahun sekali dan melaksanakan yang demikian pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali.

Hendaklah dilakukan dengan menjaga adab-adabnya sperti membaca dengan tenang, hadir hati, menyedari kebesaran kalamullah, tadabbur, tartil dan sebagainya.


Akhir kata...

Ramadhan ibarat sebuah madrasah atau sekolah yang ditentukan oleh Allah untuk mentarbiyah, melatih dan mendidik umat Islam agar dapat melahirkan insan bertakwa yang patuh tunduk kepada suruhan dan laranganNya.

Bulan yang disediakan di dalamnya pelbagai bekalan untuk diambil sebanyak mungkin oleh para hambaNya yang beriman buat bekalan perjalanan di masa hadapan.


Bulan untuk menyucikan diri dari kekotoran dosa dan memperbaharui diri dengan keimanan yang lebih kental guna menghadapi pelbagai ujian yang mendatang dalam bulan-bulan seterusnya. Beruntunglah jika kita dapat menggunakan kesempatan yang bakal tiba dengan sebaik-baiknya dan rugilah mereka yang mengabaikannya. Wallahualam.

Pantang Larang Untuk Ibu Mengandung Yang Perlu Diberi Perhatian!





Alam kehamilan merupakan alam paling indah yang dilalui oleh setiap ibu di dunia sehingga saat kelahiran. Detik ini menjadi pengikat kasih sayang diantara suami dan isteri yang mengharungi saat sukar dengan tenang dan sabar.

Bagi ibu yang sedang mengalami proses ini, ada beberapa perkara yang perlu anda elakkan untuk kesejahteraan anda dan bakal bayi anda nanti. Si suami perlu mainkan peranan yang besar untuk membantu isteri menerusi galakan, semangat dan selalu mndampingi isteri terutama apabila si ia memerlukan anda.

Antara pantang larang yang perlu anda ketahui;






1. Jauhkan diri dari kucing.

Najis kucing merupakan najis haiwan yang paling bahaya berbanding najis haiwan lain. Terdapat sejenis parasit yang membiak di dalam usus kucing yang kemudiannya dikeluarkan melalui najisnya. Parasit ini dikenali sebagai protozoa.

Parasit ini tidak mendatangkan bahaya kepada orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan. Beberapa kecacatan berkaitan saraf mungkin berlaku akibat sentuhan secara terus dengan najis kucing.

Sekiranya anda membela kucing di rumah, hadkan sentuhan anda dengan kucing tersebut. Minta suami anda untuk menguruskan aspek kebersihan kucing termasuk mengendalikan najis kucing.





2. Tidak boleh memukul, mencederakan atau membunuh haiwan.

Dikhuatiri anak yang bakal dilahirkan akan cacat atau tidak sempurna sifatnya seperti haiwan yang dicederakan itu. Contohnya, jika kita ternampak seekor lipas lalu kita memukulnya sehingga lipas itu mati dan kaki serta tanggan lipas itu tercabut, bimbang anak yang bakal lahir nanti tiada tangan atau kaki seperti lipas itu. Namun jika berada dalam situasi seperti didatangi haiwan yang merbahaya seperti ular, pastinya kita perlu selamatkan diri sendiri kan?. Berdoalah, Allah maha mendengar.






3. Elakkan penggunaan bahan kimia.

Bagi ibu yang sedang hamil, anda tentu tahu penggunaan bahan kimia sangat tidak bagus untuk bayi anda.

Jika kaedah memanjakan diri di pusat kecantikan menggunakan bahan kimia untuk merapikan rambut dan sebagainya, ada baiknya anda tangguhkan dahulu rutin ini sehingga selepas bersalin.Suhu yang tinggi ketika bersauna juga tidak elok untuk kandungan anda.

Begitu juga penggunaan pencuci muka dan alatan mekap yang mempunyai kandungan bahan kimia yang tinggi sebaiknya dielakkan. Pilih penjagaan wajah dan badan yang semulajadi untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini kepada bayi anda.






4. Elakkan makan makanan mentah atau separuh masak.

Elakkan makanan mentah kerana terdapat bakteria yang masih hidup di dalam makanan ini yang mungkin akan menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan.

Sebagai contoh sushi, telur separuh masak, steak atau makanan yang tidak dimasak sepenuhnya perlu dielakkan oleh ibu hamil yang inginkan bayinya dilahirkan dalam keadaan sihat dan cerdas.






5. Jauhkan diri dari orang yang mempunyai penyakit berjangkit.

Elakkan dari berjumpa orang yang mempunyai penyakit yang boleh berjangkit ketika anda hamil. Risau juga sekiranya penyakit yang ada pada pesakit boleh menjangkiti anda.

Walau bagaimanapun sekiranya keadaan mendesak, anda harus berhati-hati dan kurangkan sentuhan dengan pesakit.






6. Elakkan Makanan yang mempunyai bau kuat.

Elakkan memakan makanan yang berbau kuat ketika usia kandungan sudah memasuki sembilan bulan. Dikatakan air ketuban akan berbau busuk ketika saat melahirkan nanti.

Antara contoh makanan yang perlu dielakkan ialah petai dan jering terutama yang sudah dijerukkan.

Ada juga pantang larang yang melarang ibu hamil memakan ulaman yang berakar atau berurat seperti ulam pegaga kerana dikhuatiri uri akan melekat ketika bersalin. Sejauh mana kebenaran ianya tidak dapat disahkan tetapi sebab saya agak kuat juga berpantang, saya sememangnya elakkan dari memakan ulaman berurat.






7. Jaga hubungan dengan Allah dan manusia.

Paling penting, jangan tinggal solat dan berbuat baiklah kepada orang di sekeliling anda.  Bercakap baik dengan suami terutamanya dan selesaikan masalah dengan penuh berhemah jika ada masalah dan jangan dipendamkan kerana ia boleh menjejaskan emosi si ibu.



Bonus RM500 Dan Kenaikan Gaji 2 Kali Setahun .....


RINGKASAN INTIPATI BAJET 2016

KAKIKTANGAN AWAM

1. Pemberian bonus khas RM500 dibayar pada Januari tahun 2016 untuk penjawat awam. Manakala pesara dibayar RM250. 

2. Pengerakan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan ikut gred. (2 kali kenaikan gaji).

3. Gaji permulaan terendah RM1200, pencen minimum RM950.

PEKERJA SWASTA 

1. Gaji minimum swasta dinaikkan kepada RM1000 bagi semenanjung manakala RM920 bagi Sabah, Sarawak, Labuan.

2. Kelayakan gaji caruman PERKESO dinaikkan kepada RM4000.

BR1M

1. Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2016 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM950 kepada RM1,000.
  • Isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 dinaikkan daripada RM750 kepada RM800.
  • Individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

3. Semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 akan diteruskan.


 
CUKAI INDIVIDU

1. Pelepasan pengajian anak bawah 18 tahun naik kepada RM2000.


2. Pelepasan bagi pasangan yang tidak bekerja naik kepada RM4000.

3. Pelepasan untuk sara ibu bapa masing-masing RM1500.

4. Pelepasan pengajian anak belajar di IPT naik kepada RM8000.

5. Pelepasan bagi anak OKU kepada RM8000.

GST

1. 4415 lagi jenama ubat dikecualikan. Turur diberi pengecualian susu bayi berasaskan kacang soya, susu organik, kacang dhal, gula merah,mi kolok.

2. Hasil jualan tahunan bagi pendaftaran GST dikurangkan kepada RM50,000.

3. Pengguna telefon prabayar dapat rebat.

Pemilihan Cuti Panjang Bagi Tahun 2016

Anda merancang untuk bercuti panjang, tetapi risaukan cuti tahunan anda habis? Di sini ada tips untuk anda bercuti panjang tanpa menghabiskan cuti tahunan anda. Cuti yang dirancang ini mengikut cuti umum sahaja. Untuk cuti bagi setiap negeri anda boleh sesuaikan mengikut negeri anda bertugas.

Slot 1 : Tempoh Cuti  4 Hari  (1 Jan 2016 - 4 Jan 2016)

Nota : 1 Jan 2016 cuti Tahun Baru, 2 & 3hb cuti mingguan. Ambil cuti pada 4 Jan 2016.



Slot 2 : Tempoh Cuti 4 Hari (23 Jan 2016 - 26 Jan 2016)

Nota : 23hb cuti mingguan, 24 Jan 2016 cuti Thaipusam.  Ambil cuti pada 26 Jan 2016.



Slot 3 : Tempoh Cuti 4 Hari (30 Jan 2016 - 2 Feb 2016)

Nota : 30 & 31hb cuti mingguan, 1 Feb 2016 cuti Hari Wilayah.  Ambil cuti pada 2 Feb 2016.



Slot 4 : Tempoh Cuti  5 Hari  (6 Feb 2016 - 10 Feb 2016)

Nota : 6 & 7hb cuti mingguan, 8&9hb Feb 2016 cuti Tahun Baru Cina.  Ambil cuti pada 10 Feb 2016.



Slot 5 : Tempoh Cuti  4 Hari  (30 Apr 2016 - 3 May 2016)

Nota : 30hb cuti mingguan, 1 May 2016 cuti Hari Pekerja.  Ambil cuti pada 3 May 2016.



Slot 6 : Tempoh Cuti  5 Hari  (6 Jul 2016 - 10 Jul 2016)

Nota : 6&7 Jul 2016 cuti Hari Raya.  Ambil cuti pada 8 Jul 2016. 9&10hb Jul cuti mingguan.



Slot 7 : Tempoh Cuti  4 Hari  (10 Sept 2016 - 13 Sept 2016)

Nota : 10&11hb Sept cuti mingguan, 12 Sept 2016 cuti Hari Raya Qurban.  Ambil cuti pada 13 Sept 2016.



*Slot 8 : Tempoh Cuti  10 Hari  (10 Sept 2016 - 13 Sept 2016)

Nota : 10&11hb Sept cuti mingguan, 12&13 Sept 2016 cuti Hari Raya Qurban.  Ambil cuti pada 14&15 Sept 2016. 16 Sept 2016 cuti Hari Malaysia. 17&18hb Sept cuti mingguan. 
*Bagi Negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.



Slot 9 : Tempoh Cuti  4 Hari  (1 Oct 2016 - 4 Oct 2016)

Nota : 1hb Oct cuti mingguan, 2 Oct 2016 cuti Awal Muharram. Ambil cuti pada 4 Oct 2016.




Slot 10 : Tempoh Cuti  4 Hari  (10 Dec 2016 - 13 Dec 2016)

Nota : 10&11hb Dec cuti mingguan, 12 Dec2016 cuti Maulidur Rasul. Ambil cuti pada 13 Dec 2016.



Slot 11: Tempoh Cuti  4 Hari  (10 Dec 2016 - 13 Dec 2016)

Nota : 23 & 24hb Dec cuti mingguan, 25 Dec2016 cuti Krismas. Ambil cuti pada 26 Dec 2016.



Maksimunkan penggunaan cuti  dengan cuti yang lebih panjang tanpa menjejaskan banyak cuti tahunan. Selamat Bercuti!!!

Senarai Tempat Menarik di Malaysia yang mungkin menjadi pilihan Anda.Lihat DISINI


Makanan Sunnah Terbaik Untuk Ibu Mengandung. Selamat Amalkan!







1. KURMA

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."

Kurma juga boleh membantu memudahkan proses bersalin dan mengecutkan rahim kerana ada bahan boleh membantu proses berkenaan, sebagaimana dilakukan Maryam yang memakan buah kurma selepas melahirkan Nabi Isa as.







2. KISMIS

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian”.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (hempedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyehatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih”.








3. BUAH TIN

Buah tin juga bagus untuk diamalkan, banyak khasiatnya. seperti yang diterangkan dalam surah At-Tin dalam surah ke 95, di mana Allah telah bersumpah di atas nama buah tin dan buah zaitun.

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin, lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda;

 “Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”







4. SUSU KAMBING

Susu kambing mampu membantu masalah seperti asma, reumatik, demam kuning, insomnia dan menguatkan tulang. Khasiatnya dikatakan lebih baik daripada susu lembu dan hampir menyamai susu ibu.







5. MADU

Madu juga elok diamalkan kerana dapat menambahkan ketahanan diri semasa  mengandung. Kandungan zat galian dalam madu juga dapat menguatkan janin.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Qur’an, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit”.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.








6. DELIMA

Buah delima kaya tinggi antioksida. Pati delima jika diambil pada trimester pertama dapat mengelakkan morning sickness. Delima juga dapat melindungi otak bayi.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rahman ayat 68 yang bermaksud:

Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat buah-buahan, pokok kurma dan pokok delima.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

Makanlah delima dengan kulitnya kerana sesungguhnya buah delima baik untuk penghadaman perut.
(Diriwayatkan Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Sunni)


Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

Tidaklah buah delima yang ada pada kalian sekarang ini, melainkan sebahagian daripada buah delima dari syurga.
 (Diriwayatkan oleh Al-Dzabi)








7. AIR ZAM-ZAM

Zam Zam mempunyai keberkatan, kelebihan dan keistimewaan yang banyak, yang tidak terdapat pada air-air lain. Merupakan air yang terbaik di atas muka bumi dan boleh menyembuhkan penyakit (dengan izi Allah s.w.t).

Sabda Nabi s.a.w :

 “Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit.”
.. .. ..